Program ILMU MENGUBAH DESTINI SMK JENGKA 24

Program Ilmu Mengubah Destini merupakan aspirasi Naib Canselor UiTM, Dato' Prof. Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar. Program ini berperanan untuk memperkukuhkan peranan UiTM dalam memperkasakan pendidikan tinggi anak Bumiputera, selain melebar laluan untuk mereka mencapai kehidupan cemerlang dan terjamin. Aspirasi besar Dato' Naib Canselor adalah untuk mendidik anak bangsa dan melahirkan lebih ramai bilangan profesional Bumiputera di masa hadapan.




Bagi aktiviti Pembangunan Pusat Sumber Sekolah Sekolah Menengah Felda, Pusat Sumber Sekolah dilihat memainkan peranan yang penting bagi proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Pusat Sumber ini juga diharap dapat membantu dalam mencetus dan menjana minda pelajar-pelajar generasi Felda khususnya untuk berfikir secara kritis, kreatif dan inovatif. Pusat Sumber sekolah perlu memastikan mempelbagai media dan nilai keilmuan disediakan di dalam Pusat Sumber bagi merangsang proses pengajaran dan pembelajaran yang kreatif dan inovatif bagi melahirkan generasi Felda yang bermaklumat dan menjadi penyumbang kepada kemajuan bangsa dan negara.




Pengurusan Pusat Sumber yang berkesan dan cemerlang ini perlu diperlengkapkan dengan pelbagai kemudahan dan prasarana dari segi koleksi, perkakasan (termasuk ICT) dan perisian supaya dapat memberikan impak yang maksimum dan mendalam kepada pelajar dan para guru.


Aktiviti ini adalah anjuran PTAR (Perpustakaan Tun Abdul Razak) UiTM Malaysia, Shah Alam bersama UiTM Pahang Kampus Jengka, Kampus Khazanah Alam dengan kerjasama dan bantuan Bahagian Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia.



Program ini telah dirasmikan oleh Tn. Hj Haron Wee Ah Boo (Ketua Pustakawan Perpustakaan UiTM Malaysia) pada 24 Jun 2010 jam 11.30 pagi bertempat di Dewan Terbuka SMK Jengka 24. Pelbagai Aktiviti telah dirangka bagi memastikan objekti program ini dicapai. Aktiviti-aktiviti tersebut dilakukan mengikut beberapa peringkat seperti:-


a) Program Audit Pusat Sumber Sekolah Menengah Felda Terbaik Negeri Pahang

Tarikh : 10 Mei – 11 Mei 2010

b) Bengkel Pengurusan PSS SMK Felda Negeri Pahang.

Tarikh : 18 Mei – 20 Mei 2010

c) Library Makeover iaitu Program Pembangunan Pusat Sumber SMK Jengka 24

Tarikh : 2 Jun-3 Jun 2010





d) Bengkel Pemantapan Pusat Sumber SMK Jengka 24


22 Jun-23 Jun 2010

e) Program Promosi & Motivasi Pusat Sumber Jengka 24


24 Jun - 25 Jun 2010

Program Motivasi yang telah disampaikan oleh Prof.Madya Hj Izuddin Bin Hj. Ali atau lebih dikenali dengan Prof Izi (Pensyarah Fakulti Sains Komputer & Matematik dan Pakar Motivasi) telah berjaya mencuit hati pelajar dengan memberi semangat dan suntikan yang membina kepada para pelajar untuk terus cemerlang dalam bidang akademik, akhlak dan agama.






Semua usaha ini adalah merupakan satu khidmat masyarakat bagi menyuntik semangat kepada para pelajar dan guru Pusat Sumber Sekolah untuk memberikan kesan yang positif kearah melahirkan generasi Felda yang inovatif. Pengurusan Pusat Sumber Sekolah perlu mempelbagaikan koleksi, aktiviti dan promosi bagi meningkatkan pengunjung dikalangan para guru dan pelajar. Penganjuran aktiviti dan promosi yang mantap dapat menggalakkan penggunaan Pusat Sumber yang optimum.





OBJEKTIF PROGRAM ILMU MENGUBAH DESTINI

Meningkatkan kemahiran di dalam memperolehi, menilai dan menggunakan maklumat bagi peningkatan taraf ekonomi dan kehidupan masyarakat Felda disamping untuk meningkatkan pentadbiran dan pengurusan Pusat Sumber Sekolah agar dilaksanakan dengan cara yang professional berdasarkan piawaian-piawaian yang telah ditetapkan.

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More


 
Blogger Template and Design by Nasha-Maya